"Waaaa!" Tangisan bayi sahut- bersahutan. Seorang demi seorang bayi menangis kelaparan.
Wanita- wanita bani Sa'ad keresahan. Kelopak mata tidak mampu lena meskipun malam semakin tua. Rasa simpati kepada si bayi meruntun hati. Bunyi bising merodok ke telinga sehingga ke pagi.
Mereka meneruskan musafir yang panjang tatkala mentari memancar alam tanpa tidur yang mencukupi. Bayi- bayi mereka meragam sepanjang perjalanan. Ibu mereka yang kehausan dan kelaparan, mana mungkin dapat menghasilkan susu yang mencukupi.
"Sabarlah sayang. Susu ibu kering," pujuk wanita bani Sa'ad. Menagih secebis pengertian daripada bayi yang belum mengerti.
"Bila agaknya kita akan sampai ke Kota Makkah?" hati mereka tertanya- tanya.
Setiap kali menapak, mereka sangat berharap agar hujan segera turun. Harapan berbalas kecewa. Hujan yang dinanti tidak juga turun- turun. Musim kemarau sedang melanda.
Jasa Keldai Lemah dan Unta Tua.
Halimah al- Sa'diyyah bersama- sama suami dan bayinya turut menyertai rombongan itu. Perjalan meredah lautan pasir pada musim kemarau sungguh getir. Rasa dahaga mencekik. Rasa lapar menyambar. Rasa letih menggigit.
Keldai tunggangan Halimah berjalan terkedek- kedek lantaran tiada tenaga. Begitu juga unta tunggangan suaminya. Terhuyung- hayang melangkah. Terpaksa bekerja dalam keadaan lapar dan dahaga. Kerap kali mereka ketinggalan jejak rombongan di hadapan.
Bayi Halimah menangis lemah. Sudah penat merayu susu ibunya. Bukan Halimah tidak mahu bagi, cuma susunya sedikit sekali. Halimah menepuk- nepuk paha bayinya. Cuba memujuk.
Halimah juga bersimpati kepada keldai tunggangannya. Andai ia mati, perjalanannya ke Makkah pasti bertambah sukar. Apakan daya, dia hanya mampu berharap dan terus berharap. Kalaulah ketika itu jiwanya sudah mengenali Tuhan Yang Maha Esa, sudah tentu jiwanya terasa kaya berharap kepada Yang Maha Kuasa.
Rombongan bani Sa'ad akhirnya tiba di Makkah. Mereka meneguk air zamzam yang tidak pernah kering dari sumbernya sepuas- puasnya. Air itu telah berjasa kepada jutaan manusia.
Ibu Susuan Bani Sa'ad Menjadi Rebutan.
Penduduk Quraisy menyambut meriah kedatangan Bani Sa'ad. Mereka berebut- rebut menawarkan bayi masing- masing untuk dijadikan anak susuan. Mereka tahu bahawa susu- susu ibu bani Sa'ad mempunyai reputasi yang baik dalam menyusukan bayi sejak turun- temurun.
Antara tujuan utama bani Quraisy mengupah ibu susuan kerana ingin anak mereka fasih berbahasa Arab seperti golongan Badwi. Tambahan pula, mereka yakin dan percaya bahawa hidup secara nomad di gurun pasir boleh melatih seseorang anak berjiwa kental. Masakan tidak, kaum Quraisy pernah hidup secara nomad sebelum menetap di sekitar Kaabah di bawah pimpinan Qusai.
Selain itu, Makkah yang dikunjungi pelbagai bangsa berisiko membawa virus kepada bayi. Wabak penyakit yang sering melanda Makkah telah menyebabkan kematian ramai bayi. Mereka tidak mahu wabak itu menimpa bayi mereka.
Bayi Aminah Terpinggir.
Aminah hadir di celah- celah kaumnya. Sebagai ibu, dia juga mahukan yang terbaik untuk bayinya. Aminah bersungguh- sungguh menawarkan bayinya kepada wanita bani Sa'ad.
"Siapa ayahnya?"
"Maaf, dia anak yatim."
Tiada seorang pun wanita bani Sa'ad sudi mengambil bayi Aminah yang bernama Muhammad. Mereka mengharapkan upah yang banyak dari ayah bayi yang disusui. Mereka tidak yakin ibu atau atuk si bayi mampu menyediakan imbalan yang setimpal.
Halimah turut keberatan mengambil Muhammad sebagai bayi susuannya. Kemiskinannya menghambat rasa simpati. Dia berharap ada bayi lain yang lebih menjanjikan keuntungan.
Aminah kesedihan. Dia pulang membawa Muhammad tersayang. Dia kasihan melihat bayi yatim itu dipinggarkan. Berguguran airmatanya . Jika Muhammad terus di sini, entah apa akan berlaku kepadanya. Mungkin diserang wabak, kemudian mati kesakitan. Hati si ibu kebimbangan.
Tetap Sudi Tatkala Si Bayi Yatim Dijauhi.
Setelah beberapa ketika berada di Makkah, rombongan bani Sa'ad kini ingin berangkat pergi. Halimah melihat rakan- rakan seperjalanan sudahpun mengendong bayi susuan masing- masing. Hanya dirinya yang masih bersama- sama bayi kandung.
Halimah berkata kepada suaminya: "Dinda tidak mahu pulang tanpa membawa bayi susuan. Dinda akan terima bayi yatim tempoh hari."
Al- Harith menyokong padu: "Insya- Allah! Semoga anak itu membawa keberkatan kepada kita."
Halimah kemudian menemui Aminah di rumahnya. Dia sedia membawa Muhammmad bersama- samanya meskipun masih rasa terpaksa. Ternyata wajah Aminah sangat gembira. Senyumannya penuh makna.
Hati Halimah berbisik: "Sungguh, aku menerima bayi ini kerana tiada bayi susuan lain."
Peristiwa Ajaib Bersama Si Bayi Berkat.
Kali pertama menyususi Muhammad, susu Halimah menjadi sangat banyak dan lancar. Halimah terkejut. Peristiwa ajaib juga berlaku kepada untanya.
Suaminya, al- Harith terduduk. Sukar untuk mempercayai apabila mendapati unta mereka yang sudah kurus kering, dipenuhi susu di dalam kantung susu. Padahal, sebelum ini tiada setitispun susu yang keluar.
Al- Harith memerah susu unta itu. Mereka meminumnya sehingga kenyang. Mereka tidur dengan lenapada waktu malam. Tiada lagi bingit tangisan sang bayi.
Al-Harith berkata kepada isterinya: "Demi Tuhan, sungguh dinda telah menerima bayi yang berkat".
"Mudah- mudahan," jawab Halinah terharu.
Keajaiban yang berlaku tidak berhenti di situ. Keldai tua yang ditunggangi Halimah mampu berjalan cepat, bahkan memintas keldai- keldai yang lain. Sehinggakan rombongannya yang lain terpaksa menjerit "Tunggu kami, Halimah."
Mereka sangat hairan lalu bertanya: "Ini keldai kamu yang sama atau keldai yang lain?"
"Ya, keldai yang sama," jawab Halimah.
Mereka berkata, "Pasti ada sesuatu yang terjadi kepada keldaimu. Luar biasa!"
Oleh: Fatimah Syarha (Solusi Isu no. 45)




0 budak comel komen:
Post a Comment