Muhasabah 2

Assalamualaikum..
Sekitar pukul 3 pagi tadi saya terjaga kerana banyak nyamuk menggigit.
Terima kasih kepada nyamuk-nyamuk yang mengejutkan supaya bangun
tahajud. Kelihatan Yugi masih hidup lagi dan sekali lagi dia sudah
berada di dalam tandas. Saya mengambil syringe dan menitikkan air ke
dalam mulutnya. Kelihatan air matanya sedang mengalir. Dia menarik
kepalanya seolah memberi isyarat tidak mahu minum. Bau Yugi busuk seolah
bau bangkai. Insaf. Bagaimana saya di hujung nyawa nanti? Adakah saya
turut berbau busuk? Ya Allah ampunilah aku.. Saya mahu menggunakan
tandas jadi saya angkat Yugi keluar dari tandas dan meletakkannya di
atas alas kaki depan tandas. Usai bersolat, saya berdoa "Ya Allah,
permudahkanlah urusan Yugi..." saya tidak tahu apa yang terbaik untuk
Yugi. Allah lebih mengetahui. Tiba-tiba
kedengaran suara sesak nafas. Kelihatan Yugi sedang tercungap-cungap.
Saya kenal tanda-tanda kucing yang hendak mati kerana setiap hari saya
menontonnya tanpa rela. Segera saya kejutkan Ali yang sedang tidur.
"Ali, bangun. Kakak rasa Yugi dah nak mati tu. Pergilah tengok,"
Dalam seminit dua, Yugi menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tiada
lagi kesakitan untuk Yugi. Syukur Ya Allah kerana bagi kesempatan Ali
untuk melihat Yugi pergi. Ali yang mula-mula memelihara Yugi di hostel
KUIS. Kemudian Yugi terpaksa dihantar kepada saya setelah felo hostel
menemui Yugi dan lain-lain binatang di bilik Ali.
Malam
semalam saya berbincang dengan pembantu-pembantu saya. Wajah mereka
muram, mungkin wajah saya juga begitu. Biasalah hidup ini pasti bertemu
masalah dan kita cenderung rasa runsing. Apabila bermuhasabah semula, ya
segala masalah perlu dikembalikan kepada Allah. Sebagai manusia biasa,
kita perlu buat banyak keputusan. Ada kebarangkalian keputusan itu
adalah yang salah, namun kita tetap perlu meneruskan hidup ini. Perkara
paling penting adalah setiap kali hendak buat keputusan, ingatlah mati.
Ingatlah bahawa ada manusia yang hidupnya menyakiti manusia lain dan
manusia itu akhirnya mati. Ingatlah bahawa ada manusia yang hidupnya
siang malam bekerja sehingga culas solat dan aurat dan manusia itu
akhirnya mati. Ingatlah bahawa ada manusia terlalu tamak dan
mementingkan diri dan manusia itu akhirnya mati. Ingatlah bahawa diri
kita ada banyak kelemahan dan kita akhirnya akan mati.
Jangan
terlalu risau tentang rezeki. Perbaikilah hubungan dengan Allah melalui
mencuci hati supaya bersih daripada sifat sangka buruk, dengki dan
dendam. Yakinilah pada janji Allah bahawa setiap kebaikan yang dilakukan
akan dibalas oleh Allah dengan kebaikan berlipat ganda. Jika tidak di
dunia, pasti di akhirat balasan berganda sedang menanti.
#Mari sahabat, bersiap sedia untuk mati..
#Copy Paste From K. Lillah#
Copyright© All Rights Reserved muslimahgreenish.blogspot.com
0 budak comel komen:
Post a Comment